Sabtu, Disember 27, 2008

In Loco Parentis

Melalui bidang pendidikan, sekolah mempunyai tanggungjawab yang penting apabila murid-muridnya berada dalam kawasan sekolah. Oleh itu, semua guru dengan sendirinya menjadi pengganti kepada ibu bapa ‘in loco parentis’ dan mereka hendaklah memastikan agar murid-murid sentiasa diberi penjagaan rapi dan dilindungi daripada sebarang risiko yang boleh mendatangkan bahaya kepada mereka. Tanggungjawab guru-guru di sekolah bergantung kepada beberapa faktor iaitu bilangan pelajar di sekolah, umur, kemahiran dan tanggungjawab mereka, aktiviti yang sering dijalankan, kelengkapan yang terdapat di sekolah dan keadaan fizikal sekolah itu sendiri seperti bangunan dan bilik darjah. Guru bertanggungjawab berada di dalam kelas semasa murid berada di dalamnya atau menyelia murid sepanjang masa persekolahan. Hal ini, bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini daripada berlaku. Meninggalkan bilik darjah tanpa kawalan boleh mengakibatkan kemalangan berlaku dan mendedahkan sekolah kepada dakwaan mahkamah. Satu kes mahkamah berkenaan penyeliaan murid dalam bilik darjah ialah kes Zazlin Zahira Kamarulzaman (budak) menuntut melalui bapa dan penjaganya Hj. Kamarulzaman bin Mohd Ali mln. Louis Marie Neube Rt. Ambrose a/l Ambrose dan dua lagi pada tahun 1985. Banyak sekolah kini menumpukan kepada aspek keceriaan agar sentiasa cantik dan bersih. Maka, wujudlah rock garden, kolam ikan atau air terjun untuk mencantikkan sekolah. Hal ini kadangkala boleh mengundang bahaya kepada murid-murid. Tanda amaran dan langkah berjaga-jaga perlu dilaksanakan untuk memastikan murid faham dan sentiasa mematuhinya. Malah dalam Surat Pekeliling Ikhtisas Bil 5/1985 dan Bil 14/1989 berkaitan mencantikkan sekolah dan kebersihan sekolah mengingatkan kita untuk mematuhinya. Adalah menjadi tanggungjawab Pengetua dan guru juga berkaitan dengan keselamatan murid di luar kawasan sekolah. Banyak Surat Pekeliling Ikhtisas mengenai keselamatan pelajar dikeluarkan untuk mengelakkan murid daripada sebarang kemungkinan yang tidak diingini berlaku sama ada di dalam dan luar kawasan sekolah. Pada tahun 2002, KPM telah melaksanakan Polisi Sekolah Selamat bertujuan untuk meningkatkan kefahaman dan penghayatan bahawa keselamatan adalah agenda utama yang perlu diberi perhatian dalam semua aspek pendidikan di sekolah. Oleh sebab sekolah adalah ‘in loco parentis’, keselamatan murid di sekolah adalah tanggungjawab guru dan pengetua sekolah selagi mereka masih berada dalam kawasan sekolah.

Tiada ulasan: